“TIDAK keterlaluan jika saya katakan bahawa pejabat adalah rumah kedua kita. Sebab, di pejabatlah kita bertemu dengan ramai kawan, yang boleh kita anggap seperti saudara-mara kita sendiri. Kita bercerita tentang keluarga masing-masing dan berkongsi perasaan suka dan duka selain mencari kegembiraan bersama.
“Kerana itu apabila saya ditawarkan bekerja di sebuah pejabat besar dan ternama, saya merasa amat bertuah, kerana sebagai orang baru yang masih muda dan mentah, saya sentiasa memerlukan bantuan dan tunjuk ajar orang yang lebih kanan di pejabat itu. Saya rasa bangga kerana kehadiran saya diterima baik menjadikan hubungan kami seperti satu keluarga besar di pejabat.’’ Itu permulaan cerita Ezzany Fitri dalam e-melnya.
“Tujuan utama saya memaparkan pengalaman hidup saya ini adalah untuk dijadikan panduan dan iktibar kepada kaum wanita dan lelaki yang bekerja – jangan suka mengutuk dan menuduh jika bertemu dengan kes seperti yang saya lalui. Bukan semua gadis mahu menggoda suami orang apatah lagi menghancurkan rumah tangga wanita lain. Namun apa yang terjadi bukan atas kehendak saya.
“Saya berkelulusan perakaunan dari sebuah IPTA tempatan. Umur ketika mula-mula diterima bekerja belum pun mencecah 25 tahun. Dengan kelulusan itu memang mudah saya dapat kerja, dan ditempatkan di bahagian pengurusan. Kebanyakan petugasnya terdiri mereka yang senior dan berjawatan besar serta kanan.
“Di bahagian ini memang tidak ramai petugas, selain pengurus-pengurus kanan terdapat juga beberapa orang eksekutif dan pembantu pengurusan. Oleh kerana bilangan petugas tak ramai, maka boleh dikatakan hubungan kami macam sebuah keluarga, sentiasa tolong-menolong. Sementara pekerja di bahagian lain ditempatkan di tingkat bawah.
“Walaupun saya baru bekerja tak sampai setahun, tetapi kerana akrabnya hubungan, mereka senang didekati dan menjadi tempat saya mengadu masalah kerja, dan juga peribadi. Apatah lagi kerana saya paling muda, maka ramailah yang suka berbual dengan saya dan membantu jika ada masalah.
“Walaupun tinggal bersama keluarga, tetapi mereka tidak menyekat jika saya ingin keluar makan dengan kawan, minum di kedai mamak, shopping atau bermalam sehari dua di rumah kawan. Mereka tidak tegas tetapi sentiasa menasihati. Begitu juga adik-beradik saya yang lain, kerana itu kesemua kami berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah.
“Dalam ramai pengurus kanan ini terdapat seorang yang sungguh peramah, umur awal 40-an bernama Encik Sham. Dia disenangi oleh semua kakitangan, tak kira bahagian pengurusan mahupun di peringkat bawah. Semua orang kenal dia selain dia senang bergaul dan berbual. Bila ada pertandingan sukan, dialah yang sangat popular, walaupun dia tidak aktif bersukan, tetapi dia menjadi teraju utama yang menggerak aktiviti sukan, selain tukang sorak yang handal. Lebih menarik, dia suka bergurau dan bergaul dengan pekerja lain tanpa mengira bidang pekerjaan mereka.
“Oleh kerana Encik Sham sudah berumah tangga, maka kami pekerja perempuan tidaklah begitu mengambil berat dengan gurauan dan usikannya dan anggap dia bergurau. Namun dalam bergurau ada seriusnya, dan semua kerja dia hendak cepat disiapkan tak kira masa. Walaupun terpaksa balik lambat jika hasil kerja kami tidak mencapai penilaiannya, tapi kami rela kerana beliau sentiasa membantu.
“Bagaimanapun nature of work memerlukan saya sentiasa berkomunikasi dengan beliau hinggalah suatu hari kami semua perlu menyiapkan bajet. Setelah siap, saya ditugaskan untuk melengkapkan laporan bajet untuk beliau lihat, baca dan bentangkan kepada pihak atasan.
“Setelah beberapa hari bertungkus-lumus menyediakan laporan, sebagai tanda terima kasih (alasan), Encik Sham ajak saya pergi makan malam. Mulanya, saya anggap ajakannya satu gurauan. Tetapi kerana dia bersungguh-sungguh maka saya terima pelawaannya.
“Kami makan di sebuah restoran Jepun, tidak ada apa-apa berlaku. Nasihatnya janganlah beritahu sesiapa di pejabat, nanti “kopak”, kerana terpaksa belanja makan staf lain sama. Beberapa hari kemudian dia ajak saya makan tengah hari bersama pegawai lain. Saya ikut sahaja. Tetapi untuk makan malam kemudiannya saya tolak, sebab tidak ada alasan.
“Tetapi Encik Sham tidak patah hati, dia terus mengajak hingga saya terpaksa terima. Selepas itu seminggu sekali kami mesti makan malam bersama. Kami tak bercerita, tetapi Ecik Sham banyak merenung dan memerhati bila saya bercakap. Ketika itu mulalah keluar puji-pujian membuat saya gelisah. Lebih menakutkan dia berterus terang bahawa dia ingin berkahwin dengan saya. Saya bukan sahaja tersentak, malah merasakan ada batu besar menimpa kepala saya. Ini satu malapetaka. Saya tergamam, kaku dan tidak berkata-kata.
Perosak
“Kerana terkejut tiga hari saya demam, saya tak tahu apa harus saya buat. Kepada siapa nak mengadu, dengan kawan pejabat, pasti “bom akan meletup”. Encik Sham telefon arahkan saya datang kerja katanya kerja saya tak beres. Tetapi sebenarnya dia sekali lagi melafazkan hasrat untuk berkahwin dengan saya, tetapi saya tolak.
“Kerana menolak saya diserang dengan SMS bertalu-talu. Akhirnya saya terpaksa jawab panggilan telefonnya. Katanya dia akan telefon saya jam 11 atau 12 malam dan siang hari dia akan hantar SMS, selain mahukan saya terima lamarannya. Saya serba salah. Kerana dia sudah berkeluarga. Saya tak mahu dipanggil “makhluk perosak.”
“Saya sedar hubungan ini tidak membawa saya ke mana-mana, kerana saya memang tidak mahu jadi isteri kedua, dan tidak mahu hancurkan rumah tangga yang dia bina bersama isterinya selama 16 tahun. Saya tidak tegar. Encik Sham tidak pernah putus asa untuk berkahwin dengan saya. Tetapi jawapan saya, hidup ini tidak semudah 1, 2 dan 3. Saya juga beritahu hubungan ini mesti diputuskan.
“Malangnya semakin saya mahu putuskan hubungan ini, dia sebaliknya tetapkan saya mesti keluar makan malam dengannya setiap malam Khamis. Tempatnya di restoran dan hotel eksklusif dan mahal-mahal. Malangnya, walaupun saya cuba sembunyikan hubungan kami, tetapi akhirnya dapat dicium oleh teman sepejabat. Akibatnya saya dipulaukan, diumpat keji dan dihina. Mereka jatuhkan hukum konon saya bersalah kerana memikat suami orang, tetapi tahukah mereka siapa sebenarnya yang memikat?
“Namun mereka tidak marahkan Encik Sham sebaliknya menganggap beliau seorang yang baik dan tak bersalah, sebaliknya saya yang salah. “Mentang-mentang Encik Sham lelaki, berpangkat maka dia dilepaskan? Dan saya perempuan, sekadar eksekutif muda maka saya bersalah? Saya dipulaukan, diumpat keji, dihina dan difitnah. Hinggakan pelbagai cerita tak masuk akal disebarkan dalam pelbagai versi.
“Kerana tidak tahan difitnah akhirnya saya letak jawatan seterusnya memutuskan hubungan dengan Encik Sham. Namun dia pujuk saya supaya terus bekerja. Tapi saya tolak biarlah saya berkorban demi keluarganya bahagia dan teman pejabat gembira.
“Walaupun saya kecewa dan menghadapi mental disorder dengan keputusan saya itu, tetapi saya puas hati dapat berbakti dan berjasa kepada mereka yang sering kesempitan meminta bantuan saya. Bukan mengungkit, tetapi itulah kenyataannya, saya diperlukan ketika mereka terdesak, habis sesak mereka, saya ditolak ke tepi.
“Kini saya kesepian dan bersendirian, saya hilang segala-galanya, kerjaya dan orang yang amat saya sayang. Kepada bekas rakan sepejabat, muhasabah diri sendiri sebelum menutup periuk nasi orang lain. Setiap fitnah yang anda lakukan, anda tanggunglah dosanya, kerana saya tidak akan maafkan. Kepada isteri dan anak-anak Sham, saya mohon ampun dan maaf kerana mencuri masa kebahagian anda untuk diri saya sendiri. Tetapi bukan saya yang mendahulukan, saya tidak pernah memikat suami anda.
“Nasihat saya kepada wanita bujang dan berkerjaya, hati-hati dengan lelaki yang sudah berumah tangga. Mereka ada banyak kelebihan untuk membuat anda jatuh cinta padanya. Tapi percayalah, cinta anda tidak akan kekal dan sampai ke mana pun. Ia tidak akan membuat anda bahagia selamanya.
“Kepada lelaki yang bergelar suami, jika anda mencari kebahagian di luar, fikirlah 10 kali, kerana sekali anda lukakan dan kecewakan hati wanita, peristiwa yang sama akan menghancurkan hidup anak perempuan anda satu hari nanti.
“Walaupun kini saya masih menganggur, tetapi saya bersyukur masih muda dan boleh berdiri walaupun tidak tegap seperti dulu. Peristiwa yang terjadi ke atas diri ini akan jadi pengajaran dalam hidup saya sampai bila-bila,’’ itu cerita Ezzany Fitri tentang pengalaman pahit yang dilaluinya. - UTUSAN MALAYSIA
sumber
No comments:
Post a Comment