Kisah ini dipetik dari Sky News, pada 19 Januari 2014 selepas bekas tentera Jepun ini meninggal dunia. Ianya adalah kisah seorang tentera yang berasal dari Jepun yang bertugas semasa Perang Dunia II terus bersembunyi di dalam hutan Filipina selama lebih dari 30 tahun. Dia menolak untuk keluar dari hutan kerana tidak percaya Perang Dunia II telah tamat.
Tentera bernama Hiroo Onoda itu keluar dari hutan di Filipina yang dihuninya sejak tahun 1944 itu, selepas bekas komandannya datang dan menjelaskan kepadanya bahawa Perang Dunia II sudah berakhir. Onoda merupakan seorang pegawai tentera yang bertugas mencari maklumat dan dilatih untuk melakukan perang gerila. Onoda dihantar oleh Jepun ke Pulau Lubang di Filipina pada tahun 1944 lalu. Onoda diperintahkan oleh komandannya untuk tidak pernah menyerah, rela bunuh diri untuk menyelamatkan maklumat, dan harus terus bertahan di dalam hutan sehingga bala bantuan datang.
