Ditangkap Basah, Isteri ‘Bertukar’ Wajah | MELAKA – Akibat terlalu panik, seorang lelaki dikatakan cuba memperdayakan penguat kuasa dengan menunjukkan kad nikah ketika dicekup dengan kekasih gelapnya dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel bajet di sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam serbuan jam 2 pagi, lelaki lingkungan 30-an itu sanggup memaklumkan kononnya sudah bernikah dengan wanita berusia 20-an berkenaan.
Namun, pemeriksaan mendapati wajah wanita pada kad nikah itu tidak sama dengan wajah sebenar pasangan yang dicekup bersamanya di bilik hotel terbabit.
Selepas disoal siasat, kedua-dua mereka mengaku belum berkahwin dan bapa kepada empat anak itu dikatakan sedang dalam proses perceraian dengan isterinya.
Perkara itu dibongkar sepasukan 25 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menjalankan Ops Ambang Tahun Baru di hotel bajet di sekitar Ujong Pasir dan Plaza Mahkota, di sini, bermula kira-kira jam 12 tengah malam.
Dalam operasi empat jam yang turut mendapat kerjasama polis itu, sebanyak 16 hotel diperiksa dan seramai tujuh pasangan berusia 16 dan 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Sepasang warga Indonesia berusia 28 dan 30 tahun turut dicekup bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang didakwa anak mereka walaupun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan status pernikahan.
