Monday, 4 May 2015

Seram! Misteri Nenek Kebayan Di Gunung Ledang

Sebut sahaja Gunung Ledang, sudah pasti tergambar betapa cantiknya kawasan di situ yang kaya dengan spesis tumbuhan. Kawasan ini juga dikaitkan dengan lagenda Puteri Gunung Ledang. Seorang lelaki telah terserempak dengan seorang Nenek Kebayan pada waktu senja ketika mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Ledang. Sejak daripada itu, dirinya sering meracau tidak tentu hala. Mengapa ini terjadi?

gunung

Kisahnya lebih kurang pada tahun 1993 atau 1994 saya kurang pasti, ada seorang pemuda ni pelajar universiti di johor ada membuat aktiviti luar bersama siswa-siswa universiti tersebut untuk menjelajah gunung ledang dan berkhemah di sana untuk bermalam.

Tiba pada masa yang dijanjikan untuk jungle trekking seperti biasalah mereka berangkat ke sana dan masing-masing ada partner untuk melakukan sebarang aktiviti di gunung ledang. Setiba si pemuda ni di sana mestilah dia rasa gembira, teruja melihat keindahan gunung ledang yang semula jadi cantik berbanding gunung-gunung lain di malaysia. Gunung ledang juga antara gunung yang menjadi no. 1 yang kaya dengan lagenda yang tersendiri sejak dari dahulu kala.



Baik, kita berbalik pada cerita si pemuda tadi. Hampir sehari suntuk dia dan teman-teman yang lain menjelajah hutan, mendaki gunung melalui sungai, memasak makanan sendiri, games misi mencari harta karun dan sebagainya. Hari semakin senja, matahari semakin terbenam dan benar-benar senja. Semasa si pemuda dan teman-teman yang lain menyusuri hutan dan semak-samun, mata si pemuda seimbas lalu terlihat seorang nenek kebayan tidak jauh dari kumpulan mereka. Tidak silap saya kata si pemuda ni dia nampak susuk tubuh nenek kebayan itu dari belakang. Mujur juga tidak nampak dari depan entah bagaimana rupa dia.

Sebaik sahaja si pemuda melihat nenek kebayan yang berjalan pergi ke semak-semak itu, terlintas di dalam hati “apa orang tua tu buat senja-senja ni?” Tidak lama kemudian si pemuda sudah tidak nampak kelibat nenek kebayan itu lagi. Setelah tamat perkhemahan mereka selama 2 hari keesokan harinya kumpulan si pemuda bersama teman-temannya berangkat ke kampus untuk kuliah seperti biasa. Pada malam itu juga sesuatu yang aneh berlaku pada si pemuda itu. Kawan-kawan sebiliknya merasa pelik dengan kelakuan si pemuda yang mengurungkan diri di dalam bilik dan tidak mahu bercampur orang. Hanya diam dan termenung sahaja di dalam bilik tanpa sebab. Semakin lama kawan sebilik si pemuda itu merasa tingkah laku si pemuda itu berlainan. Macam kebingungan dan terpinga-pinga. Malam semakin larut dan si pemuda masih tidak tidur lagi.

Tidak lama kemudian lebih kurang jam 3 pagi, terdengar bunyi cermin berderai. Kawan-kawan di bilik dan jiran mereka turut terkejut mendengar bunyi benda pecah. Sebaik bangun kawan sebilik si pemuda melihat si pemuda ini telah memecahkan kepingan-kepingan kaca tingkap di bilik mereka. Si pemuda dengan tidak sedarkan diri seperti dirasuk meronta-ronta ingin terjun tingkap. Segera mereka menahan si pemuda dari terus terjun tingkap dan mengamuk. Istilah sekarang dipanggil histeria, begitulah yang di alami si pemuda. Segera kawan sebiliknya memanggil warden asrama dan memanggil pensyarah yang arif dalam bidang histeria untuk membantu si pemuda yang tidak sedarkan diri itu. Setelah ustaz atau pensyarah yang berkaitan datang dan meredakan si pemuda dari kerasukan, kelihatan si pemuda ini perlu diubati atau dicutikan untuk pulang berubat.

Apa yang diperhatikan benda yang merasuk di dalam tubuh si pemuda gagal dikeluarkan dan amat ganas. Hanya mampu ditundukkan buat sementara waktu sahaja. Tidak lama kemudian pihak universiti menghubungi keluarga si pemuda dan meminta mereka menjemput anak mereka pulang untuk diubati baru meneruskan pengajian seperti biasa. Diringkaskan cerita sebaik sahaja pulang di rumah perkara sama diulangi oleh si pemuda. Dia seakan-akan dirasuk oleh sesuatu yang membuatkan dirinya melakukan kekecohan. Habis tingkap di rumah keluarganya dipecahkan satu persatu. Tingkap dapur dan tidak lama selepas itu tingkap di bilik air. Kemudian menjerit-jerit meminta tolong.

Apa yang anehnya tangan yang digunakan untuk pecahkan kaca-kaca tingkap tidak luka dan berdarah. Memang sesuatu yang jika difikirkan dengan fikiran waras hakikatnya mesti berdarah dan cedera. Seperti kebal pula langsung tidak luka malah si pemuda tidak merasa sakit. Mungkin begitulah yang akan terjadi setelah ada makhluk lain di dalam badan manusia. Bila melihat situasi yang serius ini, ayah si pemuda segera memasung anaknya yang kerasukan itu dengan tali dan ikat tangan dan kakinya. Kasihan sungguh melihat apa yang berlaku. Tiada ibu atau ayah yang ingin menyakiti anak sendiri tapi dalam kes ini terpaksa diikat dulu untuk keselamatan semua pihak.

Ayah dan ibu si pemuda mencari jalan keluar untuk memulihkan anak mereka. Setelah mereka mendapat tahu ada seorang tukang ubat yang boleh mengubati anaknya segera mereka bawa. Malangnya tidak berjaya malah semakin mengganas reaksi si pemuda seolah-olah tidak takut diubatkan. Begitulah kesnya ramai juga yang cuba ubatkan tapi gagal. Yang terakhir setelah melalui jalan buntu, ibu dan ayah pemuda mendengar khabar ada seorang kiyai yang boleh mengubati penyakit-penyakit ganjil yang pelik. Setelah dibawa berubat Alhamdulillah menampakkan kesan positif dan sifat si pemuda yang sering mengganas bertukar sedikit demi sedikit lembut dan tidak berkasar. Cuma kelakuannya masih keanak-anakan dan separuh sedar.

Setahu saya sepanjang keluarganya menjaga si pemuda ini, ianya berlaku di bulan yang berkat iaitu ramadhan bulan umat islam berpuasa. Kejadian itu berlarutan sehingga syawal sambil mendengar takbir raya. Cukup sedih dan syahdu mana tidaknya semua menyambut raya dengan gembira tapi mereka dalam keadaan berduka dengan anak yang masih separuh pulih. Ada yang menyarankan untuk di bawa ke hospital orang sakit jiwa sahaja kerana sudah tidak boleh dikawal lagi. Orang sekeliling memandangnya seperti orang gila. Siang hari berjalan kaki seorang pergi ke kedai dengan tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek. Jalan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan dan tidak hiraukan orang yang hon kereta dengar cerita. Nasib tidak berlaku kemalangan.

Di ringkaskan lagi cerita ini, si pemuda yang sakit dirasuk oleh sesuatu yang tidak tahu dari mana puncanya pulih setelah menjalani susulan perubatan dengan kiyai yang mengubatinya. Si pemuda tidak lama itu menghabiskan pengajiannya dan tamat mendapat ijazah sarjana muda. Syukur pada Allah masa depannya cerah dan berjaya menjadi pegawai kerajaan yang disegani dan dihormati. Siapa sangka dahulu jika dilihat akan mengatakan dia orang gila dan patut berada di hospital gila atau tanjung rambutan sekarang telah menjadi orang yang berjawatan tinggi. Ini semua berkat kesabaran ibu dan ayah serta keluarga yang membantu memulihkan anaknya.

Jika ikut kajian juga setahu saya, peratusan orang gila yang jika diperdengarkan selalu dengan ayat suci Al-quran akan pulih dari sakitnya. Berbalik pada tajuk kita misteri nenek kebayan gunung ledang tadi. Sehingga sekarang masih tidak dapat dirungkaikan apa kaitan nenek kebayan yang dilihat di gunung ledang dengan si pemuda itu. Yang pasti selepas kejadian melihat nenek kebayan itu telah berlaku perkara misteri dalam hidup si pemuda. Adakah nenek itu sejenis jin ifrit yang merasuk atau jin baik? Hanya Allah sahaja yang tahu. Apa yang saya dengar jin islam memang tidak boleh merasuk tubuh manusia kerana itulah perjanjiannya.

No comments:

Post a Comment